Monday, March 20, 2006


'ROAD TO MECCA' Sebuah Projek Seniman Harman Hussin. Sila klik di kemaskini bawah untuk membaca artikelnya. Posted by Picasa

Wednesday, March 15, 2006


Seniman Harman Hussin sedang giat berusaha untuk Projek 'ROAD TO MECCA'nya.  Posted by Picasa

KEMBARA KE KOTA MAKKAH- Sebuah Projek Seniman Harman Hussin

ROAD TO MECCA- A Travel Project by Harman Hussin

Bicaranya tenang sambil menghirup teh panas ketika beliau di temuramah di salah sebuah kedai makan di Bussuroh Street. Namun disebalik ketenangan itu, terlihat kesungguhan Seniman Harman Hussin akan hasratnya untuk sesuatu yang beliau idam-idamkan sejak bulan Ramadan yang lalu.

“Saya ingin sekali ke Kota suci Mekkah. Itulah rancangan saya,” jawabnya ketika penulis bertanyakan tentang hasratnya itu. Dengan keinginan tersebut maka telah tercetus juga idea untuk mengadakan projek ‘Road To Mecca’. Projek ini merupakan projek persendirian seniman tersebut.

Harman, 33 tahun, adalah lulusan seni Multimedia Bachelor of Arts Degree dari University of Central England yang pernah menyertai pelbagai pameran seperti Pameran Seni kontemporari Angkatan Pelukis Aneka Daya 2005, ‘Sambal Belacan’ di Esplanade dan Malay Heritage Centre. Beliau juga pernah mempamerkan karyanya di Galeri Shah Alam, Malaysia.

Dalam projeknya ‘Road To Mecca’, beliau akan mengembara dari Singapura ke Makkah bukan melalui udara tetapi darat dengan hanya menunggang motosikalnya. Beliau akan melalui Malaysia, Thailand, Laos, China, Kazakhstan, Kyrgyzstan, Tajikistan, Uzbekistan, Turkmenistan, Iran dan Saudi Arabia. Perjalanannya selama enam bulan itu akan bermula pada akhir bulan Jun atau awal Julai ini dan beliau menjangkakan ketibaannya di Kota Makkah pada bulan Disember tahun ini. Satu cabaran yang besar, namun kecekalan hatinya tidak menghambat rancangannya itu.

“Dalam perjalanan saya ke Kota suci itu, saya akan singgah di beberapa buah tempat yang mempunyai masyarakat Islam. Saya ingin mempelajari cara hidup mereka dan berinteraksi dengan mereka. Mungkin juga saya akan membuat beberapa sesi seni dan kraf untuk kanak-kanak disana” ujarnya.

Harman juga akan mendokumentasikan kehidupan harian mereka dengan rakaman video atau petikan gambar-gambar. Dokumentasi tersebut akan menjadi salah sebuah hasil karyanya.

“Segala dokumentasi ini akan menjadi diari dan nota perjalanan saya. Bila saya pulang nanti, insyaAllah akan saya arkipkan segalanya dalam bentuk buku atau filem, dimana akan saya sertakan dalam festival filem.”

Yang amat menarik bagi penulis, beliau akan menemui pelbagai manusia dari latar belakang hidup, rupa, kulit, kaum dan budaya yang berbeza tetapi pegangannya sama dan satu, sebagai saudara-saudara Islam. Ini menunjukkan bahawa Islam itu adalah agama yang sejagat dan juga memegang kepada kedamaian dan keharmonian. Itulah matlamat murni beliau dalam projek ini.

“Setibanya saya di Saudi Arabia, tempat pertama saya akan kunjungi adalah Kota Madinah. Ingin sekali saya berkunjung ke makam Rasulullah. Kemudian saya akan ke Makkah dan…menunaikan fardhu haji. Doakanlah saya.”

Buat masa ini, Harman sedang berikhtiar mengumpul dana untuk projeknya dan sangat menghargai setiap sumbangan dana yang ingin diberikan kepadanya. Disamping itu juga, dengan bakatnya dalam seni cetak, beliau telah menghasilkan kemeja-kemeja T pelbagai corak untuk dijual untuk dana tersebut.

Ayuh kita berikan sokongan murni ini kepada saudara kita!

Kepada sesiapa sahaja yang berminat, sila lungsuri lelaman beliau,
http://road2mecca.blogspot.com/.

Di lelamannya anda clicklah ke link ROAD TO MECCA - MERCHANDISE untuk
melihat barangan yang dijual.

CLICK DISINI UNTUK KE LELAMAN HARMAN

Anda juga boleh menghantar email kepada
road2mecca@yahoo.com.sg