LOVE AGAIN (CINTA LAGI)
Sebuah Pameran Seniman Suhirman dan Harman Hussin
Cinta itu adalah sesuatu perasaan kasih dan sayang yang mendalam terhadap seseorang. Cinta adakalanya bercampur dengan keghairahan dan romantika di dalam perhubungan.
Bukanlah maksud penulis untuk berjiwang atau tangkap lentok dengan subjek ini. Sebelum pembaca memanggilnya kental, bacalah sehingga habis artikel ini.
Banyak karya yang terhasil dari subjek cinta, seperti lagu cinta-cinta, filem cinta-cinta, drama cinta-cinta, buku cinta-cinta, tarian cinta-cinta, puisi cinta-cinta dan lain-lain lagi yang cinta-cinta. Akan tetapi artikel ini menyentuh tentang karya cinta yang agak berlainan sedikit cara persembahannya.
Berlandaskan syair cinta oleh Rumi dan dengan penuh rasa kasih, maka terhasilnya ‘Love Again’ atau ‘Cinta Lagi’, sebuah pameran seni gabungan daya ilham dua seniman, Harman Hussin dan Suhirman. Pameran berlangsung di ruang White Cube, Angkatan Pelukis Aneka Daya (APAD) di Telok Ayer Performing Arts Centre pada 7 hingga 13 April 2006 tanggalnya. Pameran tersebut dibuka secara rasmi oleh Mantan Yang DiperTua Angkatan Penulis Aneka Daya Encik Kamal Dollah.
Jalal ad-Din Muhammad Rumi adalah seorang penyair besar berbangsa Farsi di kurun ke 13. Beliau juga seorang ahli ilmu agama, ahli hukum, dan guru pada ajaran Sufi. Lahirnya di kota Balkh dan kebanyakan karya syairnya dihasilkan pada zaman kegemilangan empayar Seljuk.
“Tontonilah rancangan berita yang tersiar di televisyen anda. Seringkali adanya berita tentang histeria, malapetaka, peperangan, pengeboman nekad dan lain-lain yang negatif. Saya dan Harman berbincang tentang isu-isu ini dan mendapati sebabnya adalah kerana kurang perasaan Cinta,”ujar Encik Suhirman
Karya seni yang dihasilkan gabungan arca dan digital. Para tetamu telah diajak bergambar di belakang imej arca ‘Love Again’ Ianya cukup interactik dan menarik perhatian ramai para tetamu pada hari pembukaan rasmi ‘Cinta Lagi’. “Saya kagum. Sesuatu yang kriatif. Tidak mudah untuk menghasilkan karya yang interaktif. Saya dan isteri tidak terlepas peluang untuk bergaya dalam foto.”ujar Encik Kamal sambil tertawa.
Petikan gambar-gambar para tetamu dari pelbagai kaum melakukan pelbagai gaya sungguh menarik. Setiap gambar seolah-olah memberi cerita dan tafsiran tersendiri tentang cinta yang bersifat positif dan adakalanya lucu. Apakah cinta itu suatu senda tawa, santai, cacat, gila atau serius? Terpulanglah kepada tafsiran pembaca.
Menurut Harman, “Masyarakat negara kita berada dalam keadaan yang sihat, di bawah naungan pemerintah yang adil, berdasarkan meritokrasi dan kuasa rakyat, jadi karya kami ingin menyemai sifat damai dan cinta kasih berbilang bangsa, mengasihi antara satu sama lain.Itulah mesej kesedaran yang kami harap dapat sampaikan”
Setiap orang mempunyai pengertian dan tafsiran tentang cinta. Satu perkataan pabila ditulis dan dilafazkan dengan sungguh-sungguh, sudah cukup untuk menyentuh rasa dan mencengkam kalbu. Setiap insan akan merasakannya dalam kehidupan mereka kerana perasaan itu adalah lumrah dan anugerah kehidupan. Haruslah sungguh-sungguh, baru berjaya dalam cinta.
Sebagaimana kata-kata kedua seniman ini yang tertulis dari sukma,
“Jika engkau gagal untuk cinta lagi, maka kau telah gagal untuk hidup selamanya…”
Rudy Djoharnaen
Wednesday, July 12, 2006
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment