Monday, January 30, 2006

STAND BEHIND THE YELLOW LINE

PAMERAN: STAND BEHIND THE YELLOW LINE

UTTERLY ART, 208 South Bridge Road #02-01 Singapore 058757.
[Mon – Sat 11:30 am – 8:00 pm; Sun 12:00 – 5:30 pm]
Berakhir 15 Jan 2006

Melangkah masuk ke ruang pameran Utterly Art di South Bridge Road dan melihat karya-karya seni instalasi, mindaku mula ‘terusik’. Ada diantara karya-karya tersebut mempunyai bentuk yang cukup berani, begitu juga dengan pengertian disebaliknya.

‘For your own safety, please Stand Behind The Yellow Line.’ Atau ‘Demi keselamatan anda, harap berdiri di belakang garisan kuning’ Seringkali kita mendengarnya di stesen-stesen MRT. Garisan kuning panjang dari hujung ke pangkal platfom memberi isyarat keselamatan dan juga membataskan ruang agar kita tidak terjatuh ke dalam landasan dan digeles keretapi. Dan ‘Stand Behind The Yellow Line’ diberi tafsiran seni oleh lima seniman dan seniwati di pameran mereka.

Pameran tersebut menampilkan lima seniman seniwati muda; Suhirman Sulaiman, Sharifah Mahani, Sophia Natasha Wei, Angela Chong dan Ezzam Rahman. Pameran berakhir pada 15 Januari lepas.

Isu-isu yang diketengahkan oleh mereka termasuk system politik dan sosial di dalam aliran deras perubahan modernisasi dan globalisasi. Seperti karya Encik Suhirman ‘The Giving Receiver, The Receiving Giver’, tangga dan tembok putih berlubang dua yang digunakan, seolah-olah sebagai penghadang diantara dua batas situasi dan ruang yang berbeza. Tangga yang digunakan memberi idea tentang kuasa dan penguasaan di tahap yang berbeza. Ini juga menunjukkan isu hirarki sosial dan politikal di dalam sesebuah masyarakat. Bila meneliti karya temboknya itu, teringat pula aku akan tembok pemisah Israel dan tembok Berlin di Jerman. Tembok-tembok tersebut sangat mengandungi isu-isu dan sentimen politikal yang kuat.

Karya ‘The Chepap Series” Encik Ezzam yang ku anggap paling berani menyentuh tentang isu seksual. Karyanya berbentuk kemaluan-kemaluan aneh. Penelitiannya terhadap kejadian manusia yang dibahagikan kepada dua jantina membawanya kepada persoalan bagaimana sekiranya jantina yang ketiga atau keempat dijadikan, iaitu bukan lelaki atau wanita. “Apa yang akan terjadi terhadap jantina istimewa ini? Apakah fungsi jantina ini terhadap putaran reproduksi manusia? Karya saya menyoal tentang ini” ujarnya.

Aku melihat karyanya berbentuk provokasi yang cukup sensitif dan harus berhati-hati sekiranya ingin mengetengahkannya. Apakah pengertian seperti ini relevan dengan kehidupan manusia? Sekiranya ia berpandukan imaginasi yang kuat, haruslah tahu batasannya agar tidak berkhayal.

Sharifah pula menyentuh tentang peraturan dan undang-undang berkaitan bunuh diri dalam karya ‘Zero to Infinity, or Zero, or Infinity”. Beliau mengatakan bahawa “ pada suatu saat di dalam hidup seseorang, ia akan terfikir untuk bunuh diri.” Karyanya menggunakan kain-kain berbentuk mayat manusia untuk menunjukkan kematian akibat bunuh diri. Sayangnya pemasangan bahan-bahan yang digunakan agak lemah dan ‘finishing touch’nya agak kurang. Sharifah harus meniliti semula karyanya dari sudut tersebut agar dapat memperbaiki lagi mutunya.

Secara keseluruhan, mereka telah membuat percubaan yang boleh dikatakan agak baik dalam karya-karya mereka.

Karya seni adalah komunikasi diantara seniman dan mereka yang melihat.

“Seni pada saya adalah bahan komunikasi dan saya berkomunikasi dengan masyarakat melalui karya saya” kata Encik Suhirman. Pandangannya seiring dengan penulis Leo Tolstoy, yang mengatakan bahawa setiap karya seni menyebabkan semacam suatu hubungan diantara orang yang melihatnya dan orang yang telah menghasilkan atau sedang menghasilkan karya tersebut.

Malah, karya seni juga boleh menjadi garisan kuning diantara seniman dan yang melihatnya. Terpulanglah sama ada yang melihatnya itu mahu melangkah garisan untuk meneliti dan menyelami karya tersebut atau mengendahkannya kerana menganggapnya tidak masuk akal atau tersinggung dengan bentuknya.

Nah, bukanlah mudah untuk menghasilkan karya seni seperti seni instalasi, kerana karya itu tidaklah cukup hanya sekadar dilihat dari bentuk dan bahan-bahannya. Ia menyimpan wacana pengertian dan idea yang mantap dan harus dapat ditonjolkan dengan berkesan. Setiap karya seniman adalah sebahagian dari dirinya. Seni itu adalah senimannya dan seniman itu adalah seninya.


RUDY DJOHARNAEN

1 comment:

Anonymous said...

HEY!! Zul's here. Keep on blogging! And i'll keep on reading!! Wakakakaakaka!

=D