Saturday, December 08, 2007

JULIANA YASIN dengan LAYANG-LAYANG, TOPENG dan PAS KAPAL TERBANG

Seniwati Juliana Yasin memang kerap merantau keluar negara berserta ilham seninya untuk dipersembahkan. Buktinya, nah…lihatlah beberapa dokumentasi gambar yang boleh menjentik akal fikiran yang darinya akan keluar pelbagai soalan. Arkip-arkip tersebut dipamerkan dalam ‘Kites, Veils and Boarding Passes’ yang telah dibuka secara rasmi Sabtu semalam, 7 Disember 2007 di galeri Plastique Kinetic Worms (PKW).

Penulis mengenali Juliana sebagai seorang seniwati visual dan persembahan, tetapi tidak pernah dapat melihat dan merasai hasil karya seninya. Yang dapat penulis ingat, adalah lukisan lama wanita Minangkabau olehnya.(suatu masa dulu). Oleh itu, penulis akan melihatnya dari sudut ‘mata baru’. Tambahan pula, Pameran ini dihasilkan dari sudut kacamata Kuratornya.

Juliana telah bergiat aktif dalam seni visual dan persembahan secara solo mahupun kumpulan di pelbagai festival di dalam dan luar negara sejak 1989. Pendidikan seninya diperolehi dari T.A.F.E Australia dan Universiti Teknologi Curtin.

Apa yang bisa penulis tafsirkan, karya-karya tersebut banyak mengundang persoalan sosial, kehidupan, budaya dan identiti. Contohnya, gambarnya mengenakan busana wanita Minangkabau di Perth, yang menggambarkan etnik dan budayanya. Kemungkinan busana ini mengundang semacam satu perasaan yang luar biasa (exotic) pada mata orang-orang Perth, khususnya mereka yang berketurunan Inggeris. Isu identiti dan budaya telah banyak diketengahkan oleh para seniman dan seniwati sejak era pasca kolonial. Masing-masing dengan aplikasi bahantara(medium application) dan cara sendiri.

Terdapat beberapa karya yang penulis sifatkan sebagai rentasan atau cross over. (perkataan ini mungkin juga benar, mungkin juga salah) Contohnya, gambar beliau berselubung dengan purdah hitam dengan sehelai kertas yang membicarakan tentang isu wanita di Arab Saudi. Lokasinya, di Bangkok. Mungkin lokasi itu hanya lokasi semata-mata dan tidak memainkan peranan penting dalam proses persembahan itu.

Akan tetapi pada hemat penulis, oleh kerana segala persembahan itu didokumentasikan dalam bentuk gambar dengan terteranya nama Bangkok, secara tidak langsung lokasi itu telah memainkan peranan dalam tafsiran penulis. Ini kerana penulis merasai dan mengalami karya itu dalam bentuk salinan dua dimensi. Sekiranya pengalaman tersebut diperolehi secara langsung, interpretasinya berbeda. Dalam dunia seni yang kini mengalami arus globalisasi, tafsiran sedemikan tidak dapat dielakkan. Oleh kerana itu, ia menjadi menarik dan secara keseluruhannya, penulis menganggap pameran ini satu kejayaan. Penulis mengesyorkan agar para pembaca mengunjungi pameran ini.


Syabas kepada seniwati Juliana Yasin. Teruskan perjuangan.

Pameran dibuka setiap Selasa hingga Sabtu jam 11pagi hingga 6 petang. Tanggal pameran sehingga 22 Disember 2007.

Plastic Kinetic Worms(PKW) terletak di no. 61 Kerbau Road. Kunjungi blog Juliana Yasin di sini.

Segala dokumentasi gambar adalah hakcipta Juliana Yasin. Untuk mendapatkan koleksi karya dalam bentuk poskad, kunjungilah pameran ini. Harga satu set koleksi $10.00.

Rudy Djoharnaen
Singapura

Untuk mengumumkan acara seni anda di blog ini, hantar email:rudy.djoe@gmail.com

MENGIMBAS SENI: SENTUHAN SEJARAH PADA BALUTAN KERTAS HANJI



Artikel ini adalah arkip lama Penulis yang tidak diterbitkan di akbar Singapura. Penulis merasakan manfaat berkongsi setiap artikel seni walaupun ianya agak lama.)

SENIMAN CHUNG KWANG-YOUNG
Mengimbas kembali Pameran AGGREGATION 2-23 September 2006, STPI

“Wow!” Itulah reaksi penulis ketika pertama kali melihat karya Seniman Chung Kwang-Young di pameran beliau yang bertajuk ‘Aggregation’ di Singapore Tyler Print Institute (STPI) pada 2 September lalu. Beliau telah menarik perhatian pihak STPI dan telah mengundangnya untuk menghasilkan karya-karya yang unik dalam program Kunjungan Seniman (Visiting Artist programme). Pameran ini juga mendapat perhatian akbar International Herald Tribune dan New York Times.




Encik Chung merupakan seniman kontemporari warga Korea yang terkenal dengan karya-karya seni kertas dari pohon kertau atau mulberry dalam bahasa Inggeris. Bahasa Korea pula memanggilnya ‘hanji’. Beliau memberitahu penulis hampir putus asa dalam kariernya sebagai seorang seniman. Setelah sepuluh tahun berusaha untuk menempah nama dalam dunia seni rupa sebagai pelukis di Amerika Syarikat tetapi tidak berjaya, beliau kembali ke tanahairnya Korea pada pertengahan tahun 70an. Namun ilham seninya yang baru terbuka pabila fikirannya terbayang akan imej seorang wanita tua membungkus makanan dengan bungkusan fabrik. Disitulah beliau membawa seninya ke arah yang baru. Beliau berhenti melukis dan mula menghasilkan seni instalasi menggunakan beribu-ribu bungkusan Styrofoam bentuk tiga segi dengan kertas ‘hanji’.

Penulis merasakan bahawa bungkusan-bungkusan tiga segi seolah-seolah mengandungi sentuhan sejarah yang kuat. Encik Chung bersetuju dengan pandangan ini. “Memang ia mengandungi sejarah budaya orang-orang Korea. Bungkusan kertas adalah salah satu budaya kami, malah rumah kami juga dikelilingi dengan kertas-kertas pada bahagian-bahagian tertentu. Inilah tradisi kami dan saya ingin menunjukkan itu” Ujarnya dengan penuh semangat.

Bungkusan-bungkusan tersebut diambil dari helaian mukasurat buku-buku lama. Ini juga memberitahu akan sesuatu maklumat atau ilmu yang diturunkan melalui penulis buku, pencetaknya dan para pembacanya. Setiap dari mereka yang berinteraksi dengan kertas-kertas mukasurat tersebut diabadikan dalam bungkusan-bungkusan Encik Chun.

Karya-karyanya jika dilihat dari jauh seolah-seolah mendatar seperti sebuah lukisan tetapi dari dekat boleh melihat setiap butiran (detail) pada setiap balutan kertas yang memberinya kesan bas-relief. Karya-karya tersebut bak illusi optik (optical illusion) yang sangat memberi kesan pada pancaindera.

Diantara karya-karyanya juga seolah-seolah menunjukkan kesan runtuhan-runtuhan sebuah kota. Teringat penulis akan relik-relik kota zaman kuno di Greece, India, Mesir dan lain-lain lagi. Karya-karyanya juga menunjukkan runtuhan-runtuhan akibat peperangan atau bencana.

Dari satu karya ke satu karyanya yang lain menambahkan lagi rasa kagum penulis terhadap seniman ini. “Seni itu adalah sesuatu yang sukar diberi erti yang satu, terpulanglah pada mereka yang menilaikannya…” kata Encik Chung.


*Setiap foto dengan izin Singapore Tyler Print Institute.

Sunday, January 21, 2007

FORUM SENI- Permulaan Baru: Seni dan kegiatan-kegiatannya di zaman pasca-perang Singapura

Era 50an dan 60an bukan sahaja merupakan era pasca-perang (post-war) bagi Singapura, malah ia juga merupakan masa peralihan dari kuasa pemerintahan kolonial British kepada kemerdekaan negara. Era peralihan tersebut memberi kesan yang mendalam kepada dunia politik dan sosial di negara kita. Bagaimana pula dengan seni dan para senimannya?

Forum dwibahasa bertajuk “Permulaan Baru: Seni dan kegiatan-kegiatannya di zaman pasca-perang Singapura” atau “Starting Anew: Art and Activities in Post-war Singapore – Bilingual Forum” yang bakal berlangsung di Muzium Seni Singapura (Singapore Art Museum) ini akan membentangkan respon dan reaksi seni melalui para senimannya terhadap penukaran dan perkembangan sosial sekeliling. Bagaimana seni dipraktikkan dan mengapa perlunya menubuhkan persatuan-persatuan seni ketika itu?

Hadirlah dan dengarlah sendiri dari para penceramah dari kepelbagaian bidang kesenian dan juga para seniman kita. Seniman Abdul Rahman Rais merupakan diantara mereka yang akan memberi ceramah dari perspektif persatuan yang diwakili beliau, iaitu Angkatan Pelukis Aneka Daya atau APAD. APAD merupakan persatuan para seniman Melayu yang ditubuhkan pada 1962, iaitu zaman perubahan dunia politik dan sosial Singapura.

Dengan adanya forum ini, kita akan dapat mengenal sejarah seni Singapura dan persatuan-persatuan yang telah menyumbang kepada perkembangannya.

Forum ini diselenggarakan oleh Singapore Art Museum dan Department of History, Faculty of Arts and Social Sciences, National University of Singapore

Tanggal:Sabtu, 27 Januari 2007
Masa: 9.30pagi (Pendaftaran) hingga 5.15petang
Tempat: Auditorium (Aras 2), Singapore Art Museum
71 Bras Basah Road

Tiada bayaran dikenakan.


Rudy Djoharnaen