Saturday, December 08, 2007

MENGIMBAS SENI: SENTUHAN SEJARAH PADA BALUTAN KERTAS HANJI



Artikel ini adalah arkip lama Penulis yang tidak diterbitkan di akbar Singapura. Penulis merasakan manfaat berkongsi setiap artikel seni walaupun ianya agak lama.)

SENIMAN CHUNG KWANG-YOUNG
Mengimbas kembali Pameran AGGREGATION 2-23 September 2006, STPI

“Wow!” Itulah reaksi penulis ketika pertama kali melihat karya Seniman Chung Kwang-Young di pameran beliau yang bertajuk ‘Aggregation’ di Singapore Tyler Print Institute (STPI) pada 2 September lalu. Beliau telah menarik perhatian pihak STPI dan telah mengundangnya untuk menghasilkan karya-karya yang unik dalam program Kunjungan Seniman (Visiting Artist programme). Pameran ini juga mendapat perhatian akbar International Herald Tribune dan New York Times.




Encik Chung merupakan seniman kontemporari warga Korea yang terkenal dengan karya-karya seni kertas dari pohon kertau atau mulberry dalam bahasa Inggeris. Bahasa Korea pula memanggilnya ‘hanji’. Beliau memberitahu penulis hampir putus asa dalam kariernya sebagai seorang seniman. Setelah sepuluh tahun berusaha untuk menempah nama dalam dunia seni rupa sebagai pelukis di Amerika Syarikat tetapi tidak berjaya, beliau kembali ke tanahairnya Korea pada pertengahan tahun 70an. Namun ilham seninya yang baru terbuka pabila fikirannya terbayang akan imej seorang wanita tua membungkus makanan dengan bungkusan fabrik. Disitulah beliau membawa seninya ke arah yang baru. Beliau berhenti melukis dan mula menghasilkan seni instalasi menggunakan beribu-ribu bungkusan Styrofoam bentuk tiga segi dengan kertas ‘hanji’.

Penulis merasakan bahawa bungkusan-bungkusan tiga segi seolah-seolah mengandungi sentuhan sejarah yang kuat. Encik Chung bersetuju dengan pandangan ini. “Memang ia mengandungi sejarah budaya orang-orang Korea. Bungkusan kertas adalah salah satu budaya kami, malah rumah kami juga dikelilingi dengan kertas-kertas pada bahagian-bahagian tertentu. Inilah tradisi kami dan saya ingin menunjukkan itu” Ujarnya dengan penuh semangat.

Bungkusan-bungkusan tersebut diambil dari helaian mukasurat buku-buku lama. Ini juga memberitahu akan sesuatu maklumat atau ilmu yang diturunkan melalui penulis buku, pencetaknya dan para pembacanya. Setiap dari mereka yang berinteraksi dengan kertas-kertas mukasurat tersebut diabadikan dalam bungkusan-bungkusan Encik Chun.

Karya-karyanya jika dilihat dari jauh seolah-seolah mendatar seperti sebuah lukisan tetapi dari dekat boleh melihat setiap butiran (detail) pada setiap balutan kertas yang memberinya kesan bas-relief. Karya-karya tersebut bak illusi optik (optical illusion) yang sangat memberi kesan pada pancaindera.

Diantara karya-karyanya juga seolah-seolah menunjukkan kesan runtuhan-runtuhan sebuah kota. Teringat penulis akan relik-relik kota zaman kuno di Greece, India, Mesir dan lain-lain lagi. Karya-karyanya juga menunjukkan runtuhan-runtuhan akibat peperangan atau bencana.

Dari satu karya ke satu karyanya yang lain menambahkan lagi rasa kagum penulis terhadap seniman ini. “Seni itu adalah sesuatu yang sukar diberi erti yang satu, terpulanglah pada mereka yang menilaikannya…” kata Encik Chung.


*Setiap foto dengan izin Singapore Tyler Print Institute.

No comments: