Seniwati Juliana Yasin memang kerap merantau keluar negara berserta ilham seninya untuk dipersembahkan. Buktinya, nah…lihatlah beberapa dokumentasi gambar yang boleh menjentik akal fikiran yang darinya akan keluar pelbagai soalan. Arkip-arkip tersebut dipamerkan dalam ‘Kites, Veils and Boarding Passes’ yang telah dibuka secara rasmi Sabtu semalam, 7 Disember 2007 di galeri Plastique Kinetic Worms (PKW).
Penulis mengenali Juliana sebagai seorang seniwati visual dan persembahan, tetapi tidak pernah dapat melihat dan merasai hasil karya seninya. Yang dapat penulis ingat, adalah lukisan lama wanita Minangkabau olehnya.(suatu masa dulu). Oleh itu, penulis akan melihatnya dari sudut ‘mata baru’. Tambahan pula, Pameran ini dihasilkan dari sudut kacamata Kuratornya.
Juliana telah bergiat aktif dalam seni visual dan persembahan secara solo mahupun kumpulan di pelbagai festival di dalam dan luar negara sejak 1989. Pendidikan seninya diperolehi dari T.A.F.E Australia dan Universiti Teknologi Curtin.
Apa yang bisa penulis tafsirkan, karya-karya tersebut banyak mengundang persoalan sosial, kehidupan, budaya dan identiti. Contohnya, gambarnya mengenakan busana wanita Minangkabau di Perth, yang menggambarkan etnik dan budayanya. Kemungkinan busana ini mengundang semacam satu perasaan yang luar biasa (exotic) pada mata orang-orang Perth, khususnya mereka yang berketurunan Inggeris. Isu identiti dan budaya telah banyak diketengahkan oleh para seniman dan seniwati sejak era pasca kolonial. Masing-masing dengan aplikasi bahantara(medium application) dan cara sendiri.
Terdapat beberapa karya yang penulis sifatkan sebagai rentasan atau cross over. (perkataan ini mungkin juga benar, mungkin juga salah) Contohnya, gambar beliau berselubung dengan purdah hitam dengan sehelai kertas yang membicarakan tentang isu wanita di Arab Saudi. Lokasinya, di Bangkok. Mungkin lokasi itu hanya lokasi semata-mata dan tidak memainkan peranan penting dalam proses persembahan itu.
Akan tetapi pada hemat penulis, oleh kerana segala persembahan itu didokumentasikan dalam bentuk gambar dengan terteranya nama Bangkok, secara tidak langsung lokasi itu telah memainkan peranan dalam tafsiran penulis. Ini kerana penulis merasai dan mengalami karya itu dalam bentuk salinan dua dimensi. Sekiranya pengalaman tersebut diperolehi secara langsung, interpretasinya berbeda. Dalam dunia seni yang kini mengalami arus globalisasi, tafsiran sedemikan tidak dapat dielakkan. Oleh kerana itu, ia menjadi menarik dan secara keseluruhannya, penulis menganggap pameran ini satu kejayaan. Penulis mengesyorkan agar para pembaca mengunjungi pameran ini.
Syabas kepada seniwati Juliana Yasin. Teruskan perjuangan.
Pameran dibuka setiap Selasa hingga Sabtu jam 11pagi hingga 6 petang. Tanggal pameran sehingga 22 Disember 2007.
Plastic Kinetic Worms(PKW) terletak di no. 61 Kerbau Road. Kunjungi blog Juliana Yasin di sini.
Segala dokumentasi gambar adalah hakcipta Juliana Yasin. Untuk mendapatkan koleksi karya dalam bentuk poskad, kunjungilah pameran ini. Harga satu set koleksi $10.00.
Rudy Djoharnaen
Singapura
Untuk mengumumkan acara seni anda di blog ini, hantar email:rudy.djoe@gmail.com
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment