Saturday, December 08, 2007

JULIANA YASIN dengan LAYANG-LAYANG, TOPENG dan PAS KAPAL TERBANG

Seniwati Juliana Yasin memang kerap merantau keluar negara berserta ilham seninya untuk dipersembahkan. Buktinya, nah…lihatlah beberapa dokumentasi gambar yang boleh menjentik akal fikiran yang darinya akan keluar pelbagai soalan. Arkip-arkip tersebut dipamerkan dalam ‘Kites, Veils and Boarding Passes’ yang telah dibuka secara rasmi Sabtu semalam, 7 Disember 2007 di galeri Plastique Kinetic Worms (PKW).

Penulis mengenali Juliana sebagai seorang seniwati visual dan persembahan, tetapi tidak pernah dapat melihat dan merasai hasil karya seninya. Yang dapat penulis ingat, adalah lukisan lama wanita Minangkabau olehnya.(suatu masa dulu). Oleh itu, penulis akan melihatnya dari sudut ‘mata baru’. Tambahan pula, Pameran ini dihasilkan dari sudut kacamata Kuratornya.

Juliana telah bergiat aktif dalam seni visual dan persembahan secara solo mahupun kumpulan di pelbagai festival di dalam dan luar negara sejak 1989. Pendidikan seninya diperolehi dari T.A.F.E Australia dan Universiti Teknologi Curtin.

Apa yang bisa penulis tafsirkan, karya-karya tersebut banyak mengundang persoalan sosial, kehidupan, budaya dan identiti. Contohnya, gambarnya mengenakan busana wanita Minangkabau di Perth, yang menggambarkan etnik dan budayanya. Kemungkinan busana ini mengundang semacam satu perasaan yang luar biasa (exotic) pada mata orang-orang Perth, khususnya mereka yang berketurunan Inggeris. Isu identiti dan budaya telah banyak diketengahkan oleh para seniman dan seniwati sejak era pasca kolonial. Masing-masing dengan aplikasi bahantara(medium application) dan cara sendiri.

Terdapat beberapa karya yang penulis sifatkan sebagai rentasan atau cross over. (perkataan ini mungkin juga benar, mungkin juga salah) Contohnya, gambar beliau berselubung dengan purdah hitam dengan sehelai kertas yang membicarakan tentang isu wanita di Arab Saudi. Lokasinya, di Bangkok. Mungkin lokasi itu hanya lokasi semata-mata dan tidak memainkan peranan penting dalam proses persembahan itu.

Akan tetapi pada hemat penulis, oleh kerana segala persembahan itu didokumentasikan dalam bentuk gambar dengan terteranya nama Bangkok, secara tidak langsung lokasi itu telah memainkan peranan dalam tafsiran penulis. Ini kerana penulis merasai dan mengalami karya itu dalam bentuk salinan dua dimensi. Sekiranya pengalaman tersebut diperolehi secara langsung, interpretasinya berbeda. Dalam dunia seni yang kini mengalami arus globalisasi, tafsiran sedemikan tidak dapat dielakkan. Oleh kerana itu, ia menjadi menarik dan secara keseluruhannya, penulis menganggap pameran ini satu kejayaan. Penulis mengesyorkan agar para pembaca mengunjungi pameran ini.


Syabas kepada seniwati Juliana Yasin. Teruskan perjuangan.

Pameran dibuka setiap Selasa hingga Sabtu jam 11pagi hingga 6 petang. Tanggal pameran sehingga 22 Disember 2007.

Plastic Kinetic Worms(PKW) terletak di no. 61 Kerbau Road. Kunjungi blog Juliana Yasin di sini.

Segala dokumentasi gambar adalah hakcipta Juliana Yasin. Untuk mendapatkan koleksi karya dalam bentuk poskad, kunjungilah pameran ini. Harga satu set koleksi $10.00.

Rudy Djoharnaen
Singapura

Untuk mengumumkan acara seni anda di blog ini, hantar email:rudy.djoe@gmail.com

MENGIMBAS SENI: SENTUHAN SEJARAH PADA BALUTAN KERTAS HANJI



Artikel ini adalah arkip lama Penulis yang tidak diterbitkan di akbar Singapura. Penulis merasakan manfaat berkongsi setiap artikel seni walaupun ianya agak lama.)

SENIMAN CHUNG KWANG-YOUNG
Mengimbas kembali Pameran AGGREGATION 2-23 September 2006, STPI

“Wow!” Itulah reaksi penulis ketika pertama kali melihat karya Seniman Chung Kwang-Young di pameran beliau yang bertajuk ‘Aggregation’ di Singapore Tyler Print Institute (STPI) pada 2 September lalu. Beliau telah menarik perhatian pihak STPI dan telah mengundangnya untuk menghasilkan karya-karya yang unik dalam program Kunjungan Seniman (Visiting Artist programme). Pameran ini juga mendapat perhatian akbar International Herald Tribune dan New York Times.




Encik Chung merupakan seniman kontemporari warga Korea yang terkenal dengan karya-karya seni kertas dari pohon kertau atau mulberry dalam bahasa Inggeris. Bahasa Korea pula memanggilnya ‘hanji’. Beliau memberitahu penulis hampir putus asa dalam kariernya sebagai seorang seniman. Setelah sepuluh tahun berusaha untuk menempah nama dalam dunia seni rupa sebagai pelukis di Amerika Syarikat tetapi tidak berjaya, beliau kembali ke tanahairnya Korea pada pertengahan tahun 70an. Namun ilham seninya yang baru terbuka pabila fikirannya terbayang akan imej seorang wanita tua membungkus makanan dengan bungkusan fabrik. Disitulah beliau membawa seninya ke arah yang baru. Beliau berhenti melukis dan mula menghasilkan seni instalasi menggunakan beribu-ribu bungkusan Styrofoam bentuk tiga segi dengan kertas ‘hanji’.

Penulis merasakan bahawa bungkusan-bungkusan tiga segi seolah-seolah mengandungi sentuhan sejarah yang kuat. Encik Chung bersetuju dengan pandangan ini. “Memang ia mengandungi sejarah budaya orang-orang Korea. Bungkusan kertas adalah salah satu budaya kami, malah rumah kami juga dikelilingi dengan kertas-kertas pada bahagian-bahagian tertentu. Inilah tradisi kami dan saya ingin menunjukkan itu” Ujarnya dengan penuh semangat.

Bungkusan-bungkusan tersebut diambil dari helaian mukasurat buku-buku lama. Ini juga memberitahu akan sesuatu maklumat atau ilmu yang diturunkan melalui penulis buku, pencetaknya dan para pembacanya. Setiap dari mereka yang berinteraksi dengan kertas-kertas mukasurat tersebut diabadikan dalam bungkusan-bungkusan Encik Chun.

Karya-karyanya jika dilihat dari jauh seolah-seolah mendatar seperti sebuah lukisan tetapi dari dekat boleh melihat setiap butiran (detail) pada setiap balutan kertas yang memberinya kesan bas-relief. Karya-karya tersebut bak illusi optik (optical illusion) yang sangat memberi kesan pada pancaindera.

Diantara karya-karyanya juga seolah-seolah menunjukkan kesan runtuhan-runtuhan sebuah kota. Teringat penulis akan relik-relik kota zaman kuno di Greece, India, Mesir dan lain-lain lagi. Karya-karyanya juga menunjukkan runtuhan-runtuhan akibat peperangan atau bencana.

Dari satu karya ke satu karyanya yang lain menambahkan lagi rasa kagum penulis terhadap seniman ini. “Seni itu adalah sesuatu yang sukar diberi erti yang satu, terpulanglah pada mereka yang menilaikannya…” kata Encik Chung.


*Setiap foto dengan izin Singapore Tyler Print Institute.

Sunday, January 21, 2007

FORUM SENI- Permulaan Baru: Seni dan kegiatan-kegiatannya di zaman pasca-perang Singapura

Era 50an dan 60an bukan sahaja merupakan era pasca-perang (post-war) bagi Singapura, malah ia juga merupakan masa peralihan dari kuasa pemerintahan kolonial British kepada kemerdekaan negara. Era peralihan tersebut memberi kesan yang mendalam kepada dunia politik dan sosial di negara kita. Bagaimana pula dengan seni dan para senimannya?

Forum dwibahasa bertajuk “Permulaan Baru: Seni dan kegiatan-kegiatannya di zaman pasca-perang Singapura” atau “Starting Anew: Art and Activities in Post-war Singapore – Bilingual Forum” yang bakal berlangsung di Muzium Seni Singapura (Singapore Art Museum) ini akan membentangkan respon dan reaksi seni melalui para senimannya terhadap penukaran dan perkembangan sosial sekeliling. Bagaimana seni dipraktikkan dan mengapa perlunya menubuhkan persatuan-persatuan seni ketika itu?

Hadirlah dan dengarlah sendiri dari para penceramah dari kepelbagaian bidang kesenian dan juga para seniman kita. Seniman Abdul Rahman Rais merupakan diantara mereka yang akan memberi ceramah dari perspektif persatuan yang diwakili beliau, iaitu Angkatan Pelukis Aneka Daya atau APAD. APAD merupakan persatuan para seniman Melayu yang ditubuhkan pada 1962, iaitu zaman perubahan dunia politik dan sosial Singapura.

Dengan adanya forum ini, kita akan dapat mengenal sejarah seni Singapura dan persatuan-persatuan yang telah menyumbang kepada perkembangannya.

Forum ini diselenggarakan oleh Singapore Art Museum dan Department of History, Faculty of Arts and Social Sciences, National University of Singapore

Tanggal:Sabtu, 27 Januari 2007
Masa: 9.30pagi (Pendaftaran) hingga 5.15petang
Tempat: Auditorium (Aras 2), Singapore Art Museum
71 Bras Basah Road

Tiada bayaran dikenakan.


Rudy Djoharnaen

Wednesday, November 29, 2006

PAMERAN SENI APAD

Salaam Pembaca Sekalian,

Kini bangkitlah saya kembali dengan maklumat baru mengenai seni rupa Singapura.

APAD ANJUR PAMERAN SENI

ANGKATAN Pelukis Aneka Daya (Apad) akan mengadakan sebuah pameran seni visual yang menarik Disember ini.

Pameran 'reACTION' yang bertemakan 'Sangkar' akan menampilkan barisan seniman dan seniwati muda Apad seperti Dino Hafian, Suhirman Sulaiman, Ye Ruoshi dan Maznah Ahmad.

Karya-karya seni yang akan dipamerkan memberi reaksi terhadap hal-hal berhubung dengan 'sangkar'.

Para seniman dan seniwati mempersoal tentang penghidupan yang dikurung, kesempitan berkarya, kebebasan dan lain lain lagi.




PEMBUKAAN RASMI PAMERAN(OFFICIAL OPENING)

RABU, 6 DISEMBER 2006
JAM 730 MLM
BALAI SENI THE SUBSTATION (The Substation Gallery)
45 ARMENIAN STREET

TETAMU TERHORMAT: ENCIK KWOK KIAN CHOW,
PENGARAH, MUZIUM SENI SINGAPURA
(SINGAPORE ART MUZIUM)


Pameran dibuka untuk umum dari 7 hingga 11 Disember, 11 pagi hingga 6 petang.

Pameran disokong oleh Majlis Seni Kebangsaan, Yayasan Lee dan The Substation.

Wednesday, August 02, 2006

KATA-KATA YANG SENI...

Seni dalam kata-kata... Posted by Picasa


Betapa indahnya seni dalam kata-kata, luahan rasa dalaman dari gerak jari-jemari yang menaip kata-kata atau menulis dengan kalam diatas sehelai kertas putih, tembok, dedaun atau dimana saja permukaan yang bisa ditulis. Tulisan berbentuk ceritera, syair, puisi, gurindam atau senikata adalah salah satu cara seorang penulis berkongsi perasaan yang lahir dari sukma yang seni.

Maka telah tersentuh jiwa saya untuk melahirkan kata-kata yang tersirat di dalam kalbu agar bisa dikongsisama pembaca sekalian. Jika sudi meluangkan masa, silalah melayari (Klik) BLOG DARIKALBUKU .

Blog ini adalah jalinan dari blog SeniPunyaPasal. Ia terlahir dari daya ilham yang senantiasa berputik dan berkembang.

Rudy Djoharnaen
Singapura

Tuesday, July 25, 2006

Starry Starry Night...

Inilah kisah seorang seniman yang diabadikan melalui lagu balada dendangan Don McClean 'VINCENT' atau lebih dikenali sebagai 'STARRY STARRY NIGHT'. Vincent Van Gogh adalah seorang seniman berbangsa Belanda era Post Impressionisme.




Malam yang berbintang

Sebuah ilham dari hati yang rapuh

Dari jiwa yang remuk redam

Dari batin yang semakin hancur

Melalui calitan warna-warna indah

Biru, kelabu, kuning, hijau, merah…

Dan pelbagai lagi warna-warna campuran

Hasil karya lukisan dari mu oh seniman

Hidupmu menyendiri

Tak siapa ambil peduli

Kecuali saudaramu itu yang sering menemani

Utusan warkah-warkahmu menjadi saksi

Kau seniman penghasil karya

Yang lain dari yang biasa

Mungkin waktu itu mereka belum mengerti

Karyamu diejek, bukannya dipuji

“Apakah ini dikata karya seni?”

“Dah gila agaknya seniman ini.”

Apa yang sebenarnya telah terjadi

Kebenarannya kau yang mengetahui

Tatkala hidup semakin derita

Gelap gelita dikau rasa

Tiada lagi sinaran sang suria

Hidup sudah tidak bermakna

Lalu kau mengakhiri riwayat yang terseksa

Di sisi saudaramu melafaz kata

Kata-kata akhirmu kepadanya

“ Kesedihan adalah untuk selamanya…”


Rudy Djoharnaen
25 Julai 2006


(Enam bulan kemudian, Theo pun berpulang untuk selamanya dan diabadikan disebelah kuburan Vincent di Auvers-sur-Oise, Perancis)

Wednesday, July 12, 2006

Para Seniman dan seorang peminat setia bergambar... Posted by Picasa
Dari kiri: Penulis bersama Seniman Erzan Adam dan Suhirman seolah-seolah melepak sambil mengumpat, mengata dan berbicara isu-isu politik, propaganda, global warming, cerita hantu, cerita lucu, dan sebagainya di warung berhadapan arca 'LOVE AGAIN'  Posted by Picasa
Dua Wanita Misteri bergambar... Posted by Picasa
Tetamu Kehormat Encik Kamal berserta isteri, Seniwati Ruoshi dan anak mereka Mahsuri. Posted by Picasa

LOVE AGAIN...CINTA LAGI

LOVE AGAIN (CINTA LAGI)
Sebuah Pameran Seniman Suhirman dan Harman Hussin

Cinta itu adalah sesuatu perasaan kasih dan sayang yang mendalam terhadap seseorang. Cinta adakalanya bercampur dengan keghairahan dan romantika di dalam perhubungan.
Bukanlah maksud penulis untuk berjiwang atau tangkap lentok dengan subjek ini. Sebelum pembaca memanggilnya kental, bacalah sehingga habis artikel ini.

Banyak karya yang terhasil dari subjek cinta, seperti lagu cinta-cinta, filem cinta-cinta, drama cinta-cinta, buku cinta-cinta, tarian cinta-cinta, puisi cinta-cinta dan lain-lain lagi yang cinta-cinta. Akan tetapi artikel ini menyentuh tentang karya cinta yang agak berlainan sedikit cara persembahannya.

Berlandaskan syair cinta oleh Rumi dan dengan penuh rasa kasih, maka terhasilnya ‘Love Again’ atau ‘Cinta Lagi’, sebuah pameran seni gabungan daya ilham dua seniman, Harman Hussin dan Suhirman. Pameran berlangsung di ruang White Cube, Angkatan Pelukis Aneka Daya (APAD) di Telok Ayer Performing Arts Centre pada 7 hingga 13 April 2006 tanggalnya. Pameran tersebut dibuka secara rasmi oleh Mantan Yang DiperTua Angkatan Penulis Aneka Daya Encik Kamal Dollah.

Jalal ad-Din Muhammad Rumi adalah seorang penyair besar berbangsa Farsi di kurun ke 13. Beliau juga seorang ahli ilmu agama, ahli hukum, dan guru pada ajaran Sufi. Lahirnya di kota Balkh dan kebanyakan karya syairnya dihasilkan pada zaman kegemilangan empayar Seljuk.

“Tontonilah rancangan berita yang tersiar di televisyen anda. Seringkali adanya berita tentang histeria, malapetaka, peperangan, pengeboman nekad dan lain-lain yang negatif. Saya dan Harman berbincang tentang isu-isu ini dan mendapati sebabnya adalah kerana kurang perasaan Cinta,”ujar Encik Suhirman

Karya seni yang dihasilkan gabungan arca dan digital. Para tetamu telah diajak bergambar di belakang imej arca ‘Love Again’ Ianya cukup interactik dan menarik perhatian ramai para tetamu pada hari pembukaan rasmi ‘Cinta Lagi’. “Saya kagum. Sesuatu yang kriatif. Tidak mudah untuk menghasilkan karya yang interaktif. Saya dan isteri tidak terlepas peluang untuk bergaya dalam foto.”ujar Encik Kamal sambil tertawa.

Petikan gambar-gambar para tetamu dari pelbagai kaum melakukan pelbagai gaya sungguh menarik. Setiap gambar seolah-olah memberi cerita dan tafsiran tersendiri tentang cinta yang bersifat positif dan adakalanya lucu. Apakah cinta itu suatu senda tawa, santai, cacat, gila atau serius? Terpulanglah kepada tafsiran pembaca.

Menurut Harman, “Masyarakat negara kita berada dalam keadaan yang sihat, di bawah naungan pemerintah yang adil, berdasarkan meritokrasi dan kuasa rakyat, jadi karya kami ingin menyemai sifat damai dan cinta kasih berbilang bangsa, mengasihi antara satu sama lain.Itulah mesej kesedaran yang kami harap dapat sampaikan”

Setiap orang mempunyai pengertian dan tafsiran tentang cinta. Satu perkataan pabila ditulis dan dilafazkan dengan sungguh-sungguh, sudah cukup untuk menyentuh rasa dan mencengkam kalbu. Setiap insan akan merasakannya dalam kehidupan mereka kerana perasaan itu adalah lumrah dan anugerah kehidupan. Haruslah sungguh-sungguh, baru berjaya dalam cinta.

Sebagaimana kata-kata kedua seniman ini yang tertulis dari sukma,

“Jika engkau gagal untuk cinta lagi, maka kau telah gagal untuk hidup selamanya…”


Rudy Djoharnaen







 Posted by Picasa

Monday, March 20, 2006


'ROAD TO MECCA' Sebuah Projek Seniman Harman Hussin. Sila klik di kemaskini bawah untuk membaca artikelnya. Posted by Picasa

Wednesday, March 15, 2006


Seniman Harman Hussin sedang giat berusaha untuk Projek 'ROAD TO MECCA'nya.  Posted by Picasa

KEMBARA KE KOTA MAKKAH- Sebuah Projek Seniman Harman Hussin

ROAD TO MECCA- A Travel Project by Harman Hussin

Bicaranya tenang sambil menghirup teh panas ketika beliau di temuramah di salah sebuah kedai makan di Bussuroh Street. Namun disebalik ketenangan itu, terlihat kesungguhan Seniman Harman Hussin akan hasratnya untuk sesuatu yang beliau idam-idamkan sejak bulan Ramadan yang lalu.

“Saya ingin sekali ke Kota suci Mekkah. Itulah rancangan saya,” jawabnya ketika penulis bertanyakan tentang hasratnya itu. Dengan keinginan tersebut maka telah tercetus juga idea untuk mengadakan projek ‘Road To Mecca’. Projek ini merupakan projek persendirian seniman tersebut.

Harman, 33 tahun, adalah lulusan seni Multimedia Bachelor of Arts Degree dari University of Central England yang pernah menyertai pelbagai pameran seperti Pameran Seni kontemporari Angkatan Pelukis Aneka Daya 2005, ‘Sambal Belacan’ di Esplanade dan Malay Heritage Centre. Beliau juga pernah mempamerkan karyanya di Galeri Shah Alam, Malaysia.

Dalam projeknya ‘Road To Mecca’, beliau akan mengembara dari Singapura ke Makkah bukan melalui udara tetapi darat dengan hanya menunggang motosikalnya. Beliau akan melalui Malaysia, Thailand, Laos, China, Kazakhstan, Kyrgyzstan, Tajikistan, Uzbekistan, Turkmenistan, Iran dan Saudi Arabia. Perjalanannya selama enam bulan itu akan bermula pada akhir bulan Jun atau awal Julai ini dan beliau menjangkakan ketibaannya di Kota Makkah pada bulan Disember tahun ini. Satu cabaran yang besar, namun kecekalan hatinya tidak menghambat rancangannya itu.

“Dalam perjalanan saya ke Kota suci itu, saya akan singgah di beberapa buah tempat yang mempunyai masyarakat Islam. Saya ingin mempelajari cara hidup mereka dan berinteraksi dengan mereka. Mungkin juga saya akan membuat beberapa sesi seni dan kraf untuk kanak-kanak disana” ujarnya.

Harman juga akan mendokumentasikan kehidupan harian mereka dengan rakaman video atau petikan gambar-gambar. Dokumentasi tersebut akan menjadi salah sebuah hasil karyanya.

“Segala dokumentasi ini akan menjadi diari dan nota perjalanan saya. Bila saya pulang nanti, insyaAllah akan saya arkipkan segalanya dalam bentuk buku atau filem, dimana akan saya sertakan dalam festival filem.”

Yang amat menarik bagi penulis, beliau akan menemui pelbagai manusia dari latar belakang hidup, rupa, kulit, kaum dan budaya yang berbeza tetapi pegangannya sama dan satu, sebagai saudara-saudara Islam. Ini menunjukkan bahawa Islam itu adalah agama yang sejagat dan juga memegang kepada kedamaian dan keharmonian. Itulah matlamat murni beliau dalam projek ini.

“Setibanya saya di Saudi Arabia, tempat pertama saya akan kunjungi adalah Kota Madinah. Ingin sekali saya berkunjung ke makam Rasulullah. Kemudian saya akan ke Makkah dan…menunaikan fardhu haji. Doakanlah saya.”

Buat masa ini, Harman sedang berikhtiar mengumpul dana untuk projeknya dan sangat menghargai setiap sumbangan dana yang ingin diberikan kepadanya. Disamping itu juga, dengan bakatnya dalam seni cetak, beliau telah menghasilkan kemeja-kemeja T pelbagai corak untuk dijual untuk dana tersebut.

Ayuh kita berikan sokongan murni ini kepada saudara kita!

Kepada sesiapa sahaja yang berminat, sila lungsuri lelaman beliau,
http://road2mecca.blogspot.com/.

Di lelamannya anda clicklah ke link ROAD TO MECCA - MERCHANDISE untuk
melihat barangan yang dijual.

CLICK DISINI UNTUK KE LELAMAN HARMAN

Anda juga boleh menghantar email kepada
road2mecca@yahoo.com.sg

Wednesday, February 22, 2006

Pabila Seni Disalahguna...

Kemarahan ummat Islam seluruh dunia telah dicetuskan oleh serangan ke atas Junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w melalui karya-karya karikatur yang dihasilkan oleh beberapa seniman karikatur yang tidak bertanggungjawab.

Apakah hak kebebasan bersuara dan kebebasan berfikir telah melampaui batasnya? Apakah kebebasan yang diberikan telah digunakan untuk menjerat fikiran dan perasaan orang lain?
Apakah keindahan pada bakat berkarya sewenang-wenangnya digunakan demi menodai orang lain?

Yang baik dijadikan tauladan yang buruk dijadikan sempadan.

Bakat kesenian yang ada usah disalahgunakan.

Islam is a religion of Peace. Islam Condemns Terrorism…

Rudy Djoharnaen

Monday, January 30, 2006

STAND BEHIND THE YELLOW LINE

PAMERAN: STAND BEHIND THE YELLOW LINE

UTTERLY ART, 208 South Bridge Road #02-01 Singapore 058757.
[Mon – Sat 11:30 am – 8:00 pm; Sun 12:00 – 5:30 pm]
Berakhir 15 Jan 2006

Melangkah masuk ke ruang pameran Utterly Art di South Bridge Road dan melihat karya-karya seni instalasi, mindaku mula ‘terusik’. Ada diantara karya-karya tersebut mempunyai bentuk yang cukup berani, begitu juga dengan pengertian disebaliknya.

‘For your own safety, please Stand Behind The Yellow Line.’ Atau ‘Demi keselamatan anda, harap berdiri di belakang garisan kuning’ Seringkali kita mendengarnya di stesen-stesen MRT. Garisan kuning panjang dari hujung ke pangkal platfom memberi isyarat keselamatan dan juga membataskan ruang agar kita tidak terjatuh ke dalam landasan dan digeles keretapi. Dan ‘Stand Behind The Yellow Line’ diberi tafsiran seni oleh lima seniman dan seniwati di pameran mereka.

Pameran tersebut menampilkan lima seniman seniwati muda; Suhirman Sulaiman, Sharifah Mahani, Sophia Natasha Wei, Angela Chong dan Ezzam Rahman. Pameran berakhir pada 15 Januari lepas.

Isu-isu yang diketengahkan oleh mereka termasuk system politik dan sosial di dalam aliran deras perubahan modernisasi dan globalisasi. Seperti karya Encik Suhirman ‘The Giving Receiver, The Receiving Giver’, tangga dan tembok putih berlubang dua yang digunakan, seolah-olah sebagai penghadang diantara dua batas situasi dan ruang yang berbeza. Tangga yang digunakan memberi idea tentang kuasa dan penguasaan di tahap yang berbeza. Ini juga menunjukkan isu hirarki sosial dan politikal di dalam sesebuah masyarakat. Bila meneliti karya temboknya itu, teringat pula aku akan tembok pemisah Israel dan tembok Berlin di Jerman. Tembok-tembok tersebut sangat mengandungi isu-isu dan sentimen politikal yang kuat.

Karya ‘The Chepap Series” Encik Ezzam yang ku anggap paling berani menyentuh tentang isu seksual. Karyanya berbentuk kemaluan-kemaluan aneh. Penelitiannya terhadap kejadian manusia yang dibahagikan kepada dua jantina membawanya kepada persoalan bagaimana sekiranya jantina yang ketiga atau keempat dijadikan, iaitu bukan lelaki atau wanita. “Apa yang akan terjadi terhadap jantina istimewa ini? Apakah fungsi jantina ini terhadap putaran reproduksi manusia? Karya saya menyoal tentang ini” ujarnya.

Aku melihat karyanya berbentuk provokasi yang cukup sensitif dan harus berhati-hati sekiranya ingin mengetengahkannya. Apakah pengertian seperti ini relevan dengan kehidupan manusia? Sekiranya ia berpandukan imaginasi yang kuat, haruslah tahu batasannya agar tidak berkhayal.

Sharifah pula menyentuh tentang peraturan dan undang-undang berkaitan bunuh diri dalam karya ‘Zero to Infinity, or Zero, or Infinity”. Beliau mengatakan bahawa “ pada suatu saat di dalam hidup seseorang, ia akan terfikir untuk bunuh diri.” Karyanya menggunakan kain-kain berbentuk mayat manusia untuk menunjukkan kematian akibat bunuh diri. Sayangnya pemasangan bahan-bahan yang digunakan agak lemah dan ‘finishing touch’nya agak kurang. Sharifah harus meniliti semula karyanya dari sudut tersebut agar dapat memperbaiki lagi mutunya.

Secara keseluruhan, mereka telah membuat percubaan yang boleh dikatakan agak baik dalam karya-karya mereka.

Karya seni adalah komunikasi diantara seniman dan mereka yang melihat.

“Seni pada saya adalah bahan komunikasi dan saya berkomunikasi dengan masyarakat melalui karya saya” kata Encik Suhirman. Pandangannya seiring dengan penulis Leo Tolstoy, yang mengatakan bahawa setiap karya seni menyebabkan semacam suatu hubungan diantara orang yang melihatnya dan orang yang telah menghasilkan atau sedang menghasilkan karya tersebut.

Malah, karya seni juga boleh menjadi garisan kuning diantara seniman dan yang melihatnya. Terpulanglah sama ada yang melihatnya itu mahu melangkah garisan untuk meneliti dan menyelami karya tersebut atau mengendahkannya kerana menganggapnya tidak masuk akal atau tersinggung dengan bentuknya.

Nah, bukanlah mudah untuk menghasilkan karya seni seperti seni instalasi, kerana karya itu tidaklah cukup hanya sekadar dilihat dari bentuk dan bahan-bahannya. Ia menyimpan wacana pengertian dan idea yang mantap dan harus dapat ditonjolkan dengan berkesan. Setiap karya seniman adalah sebahagian dari dirinya. Seni itu adalah senimannya dan seniman itu adalah seninya.


RUDY DJOHARNAEN

Sunday, January 29, 2006


STAND BEHIND THE YELLOW LINE Posted by Picasa